Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim Tuan Man.
BERNAMA

Melaka: Sebanyak tujuh projek besar bagi mengatasi masalah banjir di Melaka diluluskan di peringkat kerajaan pusat, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata projek itu membabitkan projek naik taraf kolam tebatan banjir di Krubong yang bernilai RM600 juta.

"Projek lain ialah projek tebatan banjir di Alor Gajah Fasa 1 dengan peruntukan RM30 juta, RTB (Rancangan Tebatan Banjir) Sungai Duyong (RM163 juta), RTB Jasin dengan peruntukan RM60 juta dan RTB Sungai Melaka Fasa 1 sebanyak RM40 juta diperuntukkan.

"Ini tanggungjawab kita sebagai kerajaan pusat, semua senarai projek ini telah kita sahkan dalam Parlimen yang sebahagianya sedang berjalan dan yang lain dalam peringkat proses pelaksanaan yang lain," katanya dalam rancangan ceramah PRN Melaka bersama beliau selaku Timbalan Presiden Pas yang disiarkan dalam Facebook Melaka Update di sini malam tadi.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata lapan calon parti itu yang dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini melalui tapisan yang ketat bagi memastikan integriti mereka apabila bergelar wakil rakyat kelak.

PRN Melaka menyaksikan Pas bertanding di lapan kerusi di bawah Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu (15 kerusi) dan Parti Gerakan pula sebanyak lima kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 8:28 AM