BN menghadapi tugas berat untuk mengekalkan kuasa di Melaka pada PRN 20 November ini. FOTO HASSAN OMAR
BN menghadapi tugas berat untuk mengekalkan kuasa di Melaka pada PRN 20 November ini. FOTO HASSAN OMAR
Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dilancarkan hari ini memberi fokus dan tumpuan untuk menyelesaikan isu yang sering membelenggu masyarakat setempat, di samping merancakkan semula ekonomi peniaga kecil.

Antara yang turut digariskan dalam 103 manifesto BN itu, termasuk menyediakan peruntukan bernilai RM931.2 juta bagi mengatasi banjir di negeri ini dalam tempoh lima tahun.

Ini membabitkan pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Alor Gajah fasa satu, RTB Sungai Duyong, RTB Bandar Merlimau, RTB Bandar Jasin, RTB Sungai Melaka fasa satu dan RTB Krubong-Durian Tunggal.

Selain itu, penyediaan 'peta hazard' banjir Lembangan Sungai Duyong serta pembangunan Pelan Induk Tebatan Banjir lembangan Sungai Baru Melaka di sini.

Dalam perincian buku manifesto dibentangkan itu, BN menyasar mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan setiap tahun.

Selain itu, tumpuan dilaksana untuk memperbanyakkan tempat berniaga dengan infrastruktur asas lengkap, di samping menyediakan insentif dan bantuan modal untuk usahawan dan peniaga.

"Meneruskan semua inisiatif bagi membantu peniaga yang terkesan akibat Covid-19. Meminda peraturan dan undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memudahkan urusan permohonan dan kelulusan lesen perniagaan.

"Membangunkan nelayan laut dalam serta mewujudkan insentif sara hidup nelayan, petani dan penternak," menurut kandungan manifesto berkenaan.

Turut disenaraikan, memastikan peluang pendidikan sama rata di beri kepada anak Orang Asli serta mewajibkan kanak-kanak Islam mendapatkan pendidikan sekolah rendah agama negeri.

"Memperkasa pelancongan kesihatan untuk menjadikan Melaka sebagai wilayah kesihatan serantau, selain diskaun kepada petugas barisan hadapan bagi kos rawatan di hospital swasta (berkaitan Covid-19)," menurut dokumen manifesto itu.

Selain itu, BN juga akan mewujudkan skim rumah pasangan baru berkahwin, selain meneruskan dasar 30 peratus penyertaan wanita sebagai pembuat dasar.

Berita Berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 8:19 PM