Rosman Shamsudin


Slim River: Jalan Slim River-Felda Gunung Besout yang dinaiki air akibat limpahan dari Sungai Bernam dekat Kampung Kuala Slim sudah boleh dilalui kenderaan hari ini.

Hujan yang berterusan sejak Jumaat lalu sehingga pagi semalam menyebabkan Sungai Bernam tidak mampu menampung air dari Sungai Slim dan Sungai Trolak.

Keadaan ini menyebabkan berlaku limpahan air di jalan terbabit termasuk kawasan rumah penduduk di Kampung Kuala Slim.

Seramai 36 mangsa banjir di kampung terbabit dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim kira-kira jam 7 malam tadi.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Muallim, Kapten (PA) Shahrizal Hussin berkata hujan berterusan sejak Jumaat lalu menyebabkan Sungai Bernam tidak mampu menampung air yang mengalir dari Sungai Slim dan Sungai Trolak.

JALAN Slim River-Felda Gunung Besout sudah boleh dilalui. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
JALAN Slim River-Felda Gunung Besout sudah boleh dilalui. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN

Katanya, limpahan air sungai terbabit bukan sahaja melimpah keluar ke kawasan kampung namun jalan yang menghubungkan Slim River-Felda Besout turut dinaiki air menyebabkan hanya kenderaan berat sahaja boleh melalui dengan selamat.

"Pagi ini cuaca semakin baik dan jalan berkenaan sudah boleh dilalui sebarang kenderaan namun pengguna diminta berhati-hati melalui jalan terbabit.

"Air masih lagi kelihatan di tepi jalan berkenaan kerana paras air di Sungai Bernam masih tinggi dan mengambil masa untuk surut," katanya ketika dihubungi.

Shahrizal berkata pemindahan penduduk kampung berkenaan membabitkan sembilan keluarga yang dipindahkan ke SK Kuala Slim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 9:58 AM