DATUK Seri Azizah Mohd Dun (kiri) bercakap semasa sidang media. FOTO Bernama
DATUK Seri Azizah Mohd Dun (kiri) bercakap semasa sidang media. FOTO Bernama
Mohd Amin Jalil


Seremban: Program kokurikulum bersesuaian untuk pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan diperkenalkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik bahkan memiliki sahsiah dan jati diri yang baik.

Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya melihat kes buli yang berlaku di MRSM baru-baru ini sebagai serius dan perlu tindakan proaktif diambil bagi memastikan tidak berulang pada masa depan.

Katanya, pihaknya sudah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan Badan Pemuafakatan Pendidikan MARA Malaysia (Muafakat) sebagai langkah untuk membendung masalah buli dalam kalangan pelajar di MRSM.

"Kita perlu memberikan perhatian serius terhadap perkara ini dalam memastikan kes-kes seumpama ini tidak berulang lagi pada masa hadapan.

"Saya sudah mengadakan perbincangan dengan badan Muafakat semalam dan akan lihat secara mendalam kaedah terbaik bagi mengurangkan atau menangani kes buli ini.

"Kita bercadang memperkenalkan program kokurikulum yang sesuai bagi memastikan pelajar ini bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga cemerlang dari segi jati diri dan sahsiah," katanya selepas majlis penyampaian pembiayaan kepada lima usahawan dan merasmikan Outlet Usahawan Automatif MARA-Petronas (PUMP) di Ozi Holding Bandar Sri Sendayan, di sini, tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan MARA, Datuk Zulfikri Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif, Petronas Lubricant Malaysia Sdn Bhd, Hardeep Singh.

Terdahulu, Jawatankuasa Disiplin Bahagian Pendidikan Menengah MARA menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara yang dikenal pasti terbabit dalam kes buli yang tular baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Azizah berkata, MARA akan terus mengambil langkah proktif dan mencari jalan supaya pelajar yang berada di MRSM mempunyai keperibadian yang baik selain berkasih sayang antara satu sama lain.

"Sementara itu, tindakan kaunseling juga akan terus diberikan kepada pelajar yang menjadi mangsa kes buli berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 4:53 PM