Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Mensasarkan kedai serbaneka sebagai lokasi samun. Itu dilakukan penjenayah berusia 55 tahun yang melakukan tiga jenayah samun.

Bagaimanapun, jenayah lelaki tidak bertahan lama apabila dia ditahan dalam serbuan di Taman Bukit Segar, Cheras, di sini, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, hasil serbuan menemui beg pinggang, jaket, 20 kotak rokok pelbagai jenama, dua topi keledar, telefon pintar dan pisau.

"Polis juga merampas motosikal jenis Modenas Kriss MR1 dipercayai digunakan suspek ketika melakukan samun.

"Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek disahkan positif dadah jenis amphetamine dan methaphetamine," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Yahaya berkata, semakan rekod jenayah ke atas suspek mendapati dia memiliki beberapa rekod jenayah dan dadah.

"Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun kedai serbaneka di sekitar Cheras

"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 7:18 PM
YAHAYA (dua kanan) melihat barang rampasan kes samun dan ragut pada sidang media di IPD Cheras. FOTO Fathil Asri
YAHAYA (dua kanan) melihat barang rampasan kes samun dan ragut pada sidang media di IPD Cheras. FOTO Fathil Asri