GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Polis menumpaskan geng penyamun bersenjata yang aktif melakukan jenayah samun di sekitar daerah ini apabila menahan lima individu termasuk remaja, kelmarin.

Kesemua suspek berusia 18 hingga 40 tahun itu diberkas pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam serbuan di Kajang, Selangor, kira-kira 6 pagi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan kes samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka, Jalan Memanda di sini, pada 18 Oktober lalu.

"Pengadu berusia 18 tahun yang bekerja sebagai jurujual mendakwa didatangi dua lelaki memakai jaket dan pelitup muka meminta 'touch n go' (TNG) berjumlah RM300.

"Pengadu kemudian meminta wang daripada suspek, namun suspek bertindak mengacukan pisau dan merampas TNG berkenaan.

"Ketika mahu melarikan diri, salah seorang suspek tercicir pisau di hadapan premis. Kedua-dua suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta Honda City," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis yang menjalankan siasatan berjaya mengesan dan menahan lima suspek serta merampas pelbagai barangan termasuk sebilah pisau yang disyaki digunakan untuk jenayah samun.

Menurutnya, soal siasat dilakukan kesemua suspek mengaku terbabit beberapa kes samun di Ampang, Cheras dan Kajang.

"Mereka mensasarkan kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam untuk melakukan jenayah itu," katanya semakan mendapati empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, kelima-lima suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga 26 Oktober ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 11:31 PM