YAHAYA Othman menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas di sebuah rumah di Setiawangsa, Sabtu lalu.
YAHAYA Othman menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas di sebuah rumah di Setiawangsa, Sabtu lalu.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Helah sindiket pengedaran dadah yang menyewa dan menjadikan rumah teres di Setiawangsa, di sini sebagai stor menyimpan 'barang' terbongkar selepas serbuan polis, Sabtu lalu menemukan syabu bernilai RM11.5 juta.

Serbuan pada jam 5.40 petang itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Kuala Lumpur hasil risikan sejak September lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, hasil serbuan berjaya menemui 320 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang bernilai RM11.5 juta.

"Menerusi serbuan itu, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 29 dan 34 tahun dipercayai penjaga stor terbabit.

"Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah, manakala seorang suspek positif dadah selepas ujian saringan air kencing dilakukan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Yahaya berkata, rampasan itu adalah rampasan dadah terbesar di Kuala Lumpur bagi tahun ini dan polis kini giat mengesan saki baki ahli sindiket.

"Polis percaya sindiket mula aktif sejak September lalu dan bekalan dadah diperoleh dari pantai timur sebelum dikumpulkan di stor berkenaan.

"Kita juga sedang menyiasat modus operandi sindiket ini, ke mana dadah ini dijual dan apa peranan sebenar dua lelaki terbabit," katanya.

Menurutnya, sindiket dipercayai menjual dadah mengikut bungkusan yang ditetapkan pada harga RM35,000 bagi sekilogram dadah.

"Polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios bernilai RM20,800. Kedua-dua suspek diraman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi talian hotline Polis KL di talian 03-21159999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 12:16 PM