Zahratulhayat Mat Arif
am@hmetro.com.my


Ipoh: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan bekas Exco Perak membela diri atas tuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan bahawa pihak pendakwaan dapat membuktikan prima facie terhadap Paul Yong Choo Kiong bagi pertuduhan itu.

Pada 23 Ogos 2019, Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya berusia 25 tahun di rumahnya di Taman Meru Desa pada 7 Julai 2019, antara 8.15 malam dan 9.15 malam.

Beliau ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak.

Yong dibicarakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh sebat, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan sudah memanggil 23 saksi termasuk dua saksi yang dilindungi, untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes yang bermula pada 5 April lalu.

Yong diwakili Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir, manakala pendakwaan kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rashdi, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin.

Paul Yong Choo Kiong (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi hari ini bagi mendengar keputusan pertuduhan yang dihadapinya iaitu merogol pembantu rumah warga Indonesia. FOTO BERNAMA
Paul Yong Choo Kiong (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi hari ini bagi mendengar keputusan pertuduhan yang dihadapinya iaitu merogol pembantu rumah warga Indonesia. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 11:01 AM