Paul Yong Choo Kiong. FOTO arkib NSTP
Paul Yong Choo Kiong. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

BERNAMA

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya, hari ini menolak permohonan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Perak Paul Yong Choo Kiong untuk memindahkan perbicaraan kes rogol dihadapinya daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim dengan Hakim Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Seri Kamaludin Md Said memutuskan untuk menolak permohonan itu manakala Hakim Datuk Rhodzariah Bujang menentang keputusan itu.

Dalam keputusan majoriti itu, Hakim Yaacob berkata mereka berpandangan tidak wujud kekhilafan oleh Pesuruhjaya Kehakiman yang tidak membenarkan permohonan Yong memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Oleh itu, beliau mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 November tahun lalu yang menolak permohonan Yong untuk memindahkan kesnya itu mengikut Seksyen 417, Kanun Acara Jenayah.

Yong, 50, adalah Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ipoh, Perak terhadap pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia berumur 23 tahun.

Yong, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh, dituduh melakukan kesalahan itu di kediamannya di Meru Desa Park pada 7 Julai tahun lalu antara 8.15 malam dan 9.15 malam.

Di luar mahkamah, peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Yong, memberitahu media yang pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Sementara itu, Mahkamah Sesyen Ipoh memerintahkan perbicaraan kes rogol itu diteruskan esok.

Sepatutnya prosiding bicara kes itu bermula hari ini bagaimanapun ia ditangguhkan berikutan keputusan rayuan kes itu di Mahkamah Rayuan.

Hakim Norashima Khalid bagaimanapun memerintahkan perbicaraan kes itu disambung semula esok sehingga menerima arahan lanjut berhubung keputusan rayuan Yong.

Pada 5 Disember tahun lalu, Norashima menetapkan lima hari bermula hari ini untuk perbicaraan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar ketika ditemui berkata pihaknya sudah bersedia untuk memanggil 15 saksi pendakwaan selain membawa jurubahasa dari Indonesia menghadiri kes perbicaraan yang sepatutnya berlangsung hari ini.

“Jika keputusan rayuan tertuduh ditolak hari ini, maksudnya perbicaraan sewajarnya dijalankan esok hingga Jumaat. Namun jika keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepada mereka, maka perbicaraan yang sepatutnya bermula esok hingga Jumaat ini dilapangkan,” katanya

Namun Azhar berkata jika perbicaraan diteruskan esok, saksi utama kes iaitu pembantu rumah yang didakwa dirogol akan dipanggil dan memberi keterangan secara tertutup.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 4:38 PM