ADLY (tiga dari kanan) berbincang dengan pegawai JPS dan agensi kerajaan mengenai hakisan di Kampung Hilir Pantai, semalam.
ADLY (tiga dari kanan) berbincang dengan pegawai JPS dan agensi kerajaan mengenai hakisan di Kampung Hilir Pantai, semalam.
Oleh Hassan Omar


“Alhamdulillah, tidak sangka kerajaan negeri bertindak pantas menyediakan peruntukan membina tembok penghalang ombak di pantai berhampiran rumah saya bagi mengatasi masalah hakisan.

“Masalah ini dialami sejak dua bulan lalu dan kerajaan negeri sudah bertindak untuk membantu saya dan penduduk kampung ini,” kata Abdul Razak Hassan, 55.

Nelayan di Kampung Hilir Pantai, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah itu gembira apabila menerima kunjungan Ketua Menteri, Adly Zahari ke kawasan pantai yang terhakis berhampiran kediamannya di kampung berkenaan Khamis lalu.

Abdul Razak berkata, dia menyanjung tinggi keprihatinan Adly dan pegawai kerajaan yang sudi meninjau keadaan hakisan yang berlaku.

“Alhamdulillah, saya rasa peruntukan RM1 juta untuk membina tembok itu bukan setakat memadai, malah mampu menjamin kelangsungan kewujudan rumah saya dan pantai ini untuk jangka panjang,” katanya.

Dia berkata, hakisan pantai dikesan berlaku pada awal Ogos lalu dan semakin merebak hingga hampir mencecah dinding bahagian dapur rumahnya pada hujung September lalu.

Keadaan semakin membimbangkan apabila masalah berkenaan diburukkan lagi dengan fenomena air pasang besar pada pertengahan September lalu hingga menyebabkan air laut hampir memasuki dapur.

“Tindakan saya membina benteng guni pasir tidak membawa banyak perubahan kerana ia dihanyutkan ombak besar yang datang bersama angin kencang dari arah selatan dan tenggara,” katanya.

Ketika meninjau masalah hakisan itu, Adly diberikan taklimat oleh pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri berhubung cadangan pembinaan tembok penghalang ombak melalui teknik rock revetment atau ‘batu lapis lindung’ yang mampu menahan ombak dan hakisan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 6:00 AM