ZAINAB menunjukkan bahagian bilik air dan tandas yang runtuh akibat hakisan serta ombak kuat dalam kejadian awal pagi Khamis lalu  di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut, Terengganu. - FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
ZAINAB menunjukkan bahagian bilik air dan tandas yang runtuh akibat hakisan serta ombak kuat dalam kejadian awal pagi Khamis lalu di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut, Terengganu. - FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Oleh Nurul Fatihah Sulaini


Besut: "Kami terpaksa 'bertahan' selagi boleh tinggal di rumah ini walaupun sedar risiko dan bahaya boleh mengancam nyawa satu keluarga," kata Zainab Zakaria, 46.

Zainab yang tinggal di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut di sini, berkata rumah berkenaan dibina pada 1999 namun kedudukannya sebelum ini agak jauh dari pantai iaitu kira-kira 100 meter.

Menurutnya, sejak projek menaik taraf muara sungai Besut dilaksanakan pada 2018 berlaku hakisan serius hingga menjejaskan penempatan penduduk.

"Sebelum ini hampir setiap tahun saya sekeluarga mengambil inisiatif sendiri membuat benteng pasir menggunakan kira-kira 500 hingga 800 guni diisi pasir untuk bertahan daripada berlaku hakisan di kawasan rumah.

"Namun pada tahun ini kami tidak mampu berbuat apa-apa kerana hakisan bertambah teruk, jarak rumah dengan pantai hanya kira-kira lima meter sahaja seolah-olah separuh rumah kami sudah berada dalam air," katanya.

Katanya, dia hampir menjadi mangsa runtuhan ketika berada di dapur untuk menyiapkan pulut pagi untuk jualan apabila tiba-tiba terdengar bunyi kuat dari luar rumah kira-kira jam 5.20 pagi, awal pagi Khamis lalu.

"Rupanya bunyi kuat itu datang dari bilik air serta tandas yang runtuh selepas berlaku ombak kuat sebelum hanyut dibawa arus...hanya beberapa meter saja dari tempat saya duduk.

"Saya sebelum ini sudah membina bilik air baharu di bahagian depan rumah sejak tiga bulan lalu kerana sudah menjangka bilik air itu akan runtuh, namun perasaan cemas tetap ada," katanya.

Katanya, bahagian dapur rumahnya juga berisiko mengalami nasib serupa kerana hampir separuh tanah bahagian bawah dapur sudah terhakis.

"Buat masa sekarang, saya, suami dan anak-anak terpaksa mengambil langkah bertahan dengan tinggal di rumah ini selain perlu lebih berjaga-jaga.

"Kami tidak mampu membina rumah baharu kerana pendapatan terhad, dan rumah yang ada sekarang hasil (tinggalan) daripada orang tua...hanya baiki jika ada retakan akibat hakisan," katanya.

Katanya, pendapatan suaminya, Wan Sopian Nazri Wan Ramli, 47, sebagai pemandu lori hanya cukup menampung keperluan mereka sekeluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 9:18 AM