GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 950 kes varian Omicron di negara ini, setakat 19 Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 764 kes adalah jangkitan dari luar negara manakala 186 kes jangkitan tempatan.

Menurutnya, kes varian membimbangkan (VOC) itu dilaporkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR); Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak; Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) serta Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya.

Katanya, turut melaporkan kes itu Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI-UKM); Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Teknologi Mara; Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HP-UPM); Hospital Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan.

"Kes pertama varian Omicron di Malaysia dilaporkan pada 3 Disember 2021 (Minggu Epidemiologi 48/2021) membabitkan pengembara asing dari Afrika Selatan. Sejak itu, varian Omicron merebak dengan cepat di kalangan komuniti berbanding varian Delta.

"Malaysia mula menunjukkan lonjakan kes Covid-19 pada ME 6/2022 dengan 115,032 kes berbanding 43,062 kes pada ME 5/2022.

"Peningkatan kes ini juga dapat dilihat di beberapa negara Asean lain iaitu Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun varian Omicron menyebabkan gejala dan komplikasi lebih ringan berbanding varian lain, namun langkah komprehensif perlu dilaksanakan bagi melandaikan lengkuk Covid-19.

Katanya, antaranya adalah memperkasakan komuniti dalam mengawal jangkitan dengan meningkatkan amalan kendiri dan penjagaan prosedur operasi standard (SOP), mengoptimakan perkhidmatan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), kesiapsiagaan perkhidmatan hospital serta meningkatkan liputan vaksin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 11:51 AM