(Gambar fail) Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan logo PKR sebagai mewakili PH pada Jumaat lalu. FOTO Hairul Anuar Rahim
(Gambar fail) Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan logo PKR sebagai mewakili PH pada Jumaat lalu. FOTO Hairul Anuar Rahim
Goh Pei Pei

DAP Sarawak menganggap penggunaan logo `mata biru’ PKR bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) boleh menyebabkan berlakunya kekeliruan dalam kalangan penyokong parti berkenaan.

Berikutan itu, DAP Sarawak tetap menggunakan logo roket dalam pilihan raya kali ini walaupun di peringkat kepimpinan tertinggi PH, persetujuan sudah dicapai berhubung penggunaan logo `mata biru’ berkenaan.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen berkata, keputusan itu selepas mengambil kira situasi politik semasa di negeri itu yang sama sekali berbeza dengan Semenanjung, selain sentimen pengundi setempat, terutama di kubu kuat parti berkenaan.

“Dalam PRU-14, hanya Parti Amanah Negara (PAN) sahaja yang akan menggunakan logo `mata biru’ di Sarawak, selain PKR sendiri. Manakala, DAP Sarawak tetap menggunakan logo roket kerana ia satu logo atau jenama cukup dikenali di negeri ini.

“DAP Sarawak dijangka berada dalam situasi tidak baik andainya tidak menggunakan logo sendiri dan dibimbangi mesej dibawa parti tidak sampai kepada rakyat, terutama dalam kalangan penyokong kita,” katanya dalam sidang media, di Kuching hari ini.

Minggu lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mengumumkan DAP pada PRU-14 menggugurkan logo roket dan mahu menggunakan logo seragam dalam PH membabitkan logo `mata biru’ yang asalnya mewakili PKR.

Chong yang juga Pengerusi PH Sarawak dan penyandang kerusi Parlimen Bandar Kuching berkata, tidak timbul isu dalam pemilihan logo berkenaan kerana DAP Sarawak diberi kuasa autonomi penuh oleh pimpinan parti itu untuk memilih penggunaan logo di negeri ini.

“Penggunaan logo roket akan meningkatkan peluang menang di sembilan kerusi Parlimen ditandingi DAP dalam pilihan raya kali ini,” katanya.

Selain Bandar Kuching, lapan lagi kerusi bakal ditandingi DAP ialah Mas Gading, Serian, Stampin, Sibu, Lanang, Sarikei, Bintulu dan Kapit, manakala PKR bertanding di 16 kerusi, manakala AMANAH bertanding di enam kerusi yang dulunya diperuntukkan kepada PAS.

Kerusi ditandingi PKR ialah Miri, Petra Jaya, Puncak Borneo, Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Saratok, Julau, Kanowit, Mukah, Selangau, Hulu Rajang, Sibuti, Baram, Limbang dan Lawas, manakala PAN bertanding di Santubong, Kota Samarahan, Batang Lupar, Batang Sadong, Igan dan Tanjung Manis

Dalam PRU-13, DAP menang lima kerusi di Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang dan Sibu, sekali gus menyaksikan kekalahan teruk parti komponen Barisan Nasional (BN), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berikutan berlakunya `Tsunami Cina’ ketika itu.

Sementara itu, Pengerusi PAN Sarawak, Fidzuan Zaidi berkata, penggunaan logo PKR memberi kelebihan kepada calon parti berkenaan untuk menawan semua kerusi ditandingi.

“Saya yakin pengundi lebih selesa dengan ‘mata biru’. Jadi, sebab itu kita menggunakan logo PKR,” katanya.

Keseluruhannya, Sarawak memiliki 31 kerusi Parlimen, dengan 25 daripadanya dikuasai BN, diikuti lima (DAP) dan satu (PKR).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 5:57 PM