Muhammad Amirul di sisi ibu dan bapanya selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah dengan Kepujian pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia. FOTO MOHD AMIN JALIL
Muhammad Amirul di sisi ibu dan bapanya selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah dengan Kepujian pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Nilai: Semangat tinggi untuk berjaya dalam bidang keusahawanan dan pelajaran dibuktikan Muhammad Amirul Aiman Ahmad Zaihan, apabila menerima Anugerah Khas Keusahawanan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, semalam.

Pada masa sama, dia menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah dengan Kepujian pada Majlis Konvokesyen USIM di Dewan Tuanku Canselor USIM.

Muhammad Amirul Aiman, 24, yang menetap di Taman Rashibah Indah, Seremban berkata, ketika ini dia sedang menguruskan syarikat ditubuhkannya iaitu Aiman Zailan Enterprise sejak 2018 dan beroperasi di Nilai.

"Saya menjalankan perniagaan dalam bidang percetakan dan memasarkan barangan basah di sekitar Nilai dan Seremban.

"Saya mengeluarkan modal permulaan RM40,000 bagi membeli mesin percetakan dan beberapa peralatan sebelum perusahaan itu dikembangkan," katanya ketika ditemui bersama ibu, Zurita Abu Kassim, 49, dan bapanya, Ahmad Zaihan Abu Hassan, 52.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, minatnya sebagai usahawan dipupuk sejak di sekolah menengah dan sering menggunakan peluang untuk menjual pakaian terpakai dan barangan lain.

Katanya, ketika ini dia mempunyai 18 pekerja tetap termasuk dalam kalangan rakan penuntut USIM dan memperoleh anggaran pendapatan kasar sekitar RM150,000 sebulan.

"Setiap bulan, saya memerlukan sekitar RM40,000 bagi membayar gaji kakitangan, sewaan premis serta kos operasi lain.

"Alhamdulillah, setakat ini aktiviti perniagaan berjalan lancar dan berkembang dengan baik. Sesungguhnya anugerah diterima ini menjadi pembakar semangat untuk saya berusaha lebih gigih," katanya.

Muhammad Amirul Aiman berkata, buat masa ini dia mahu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan yang sedang dijalankan berbanding untuk berkhidmat sebagai peguam.

Katanya, kepentingan 18 orang kakitangan perlu dijaga dan selepas ia kukuh, mungkin dia akan mula memikirkan untuk terbabit dalam perkhidmatan guaman sesuai dengan bidang kursus ikuti di USIM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 4:36 PM