Universiti Sains Islam Malaysia. FOTO Google Maps
Universiti Sains Islam Malaysia. FOTO Google Maps
Mohd Amin Jalil


Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) menafikan seorang penceramah bebas yang menggunakan nama 'Mohd Radhi Idris' sebagai graduan lulusan Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dengan kepujian daripada universiti berkenaan.

Menerusi kenyataan media, Pusat Komunikasi Strategik Usim memaklumkan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh pendakwah, Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau Pencetus Ummah (PU) Faiz menerusi laman Facebooknya yang mengatakan Mohd Radhi adalah pelajar Usim adalah tidak benar.

"Melalui semakan universiti, tiada rekod rasmi yang menunjukkan bahawa individu 'Mohd Radhi Idris' pernah mendaftar sebagai pelajar di Usim.

"Bukan saja di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pengajian yang dinyatakan tetapi juga mana-mana program pengajian akademik lain yang ditawarkan oleh Usim.

"Usim ingin menegaskan dan mengesahkan bahawa salinan skrol ijazah USIM yang digunakan oleh individu terbabit adalah sijil ijazah yang tidak pernah dikeluarkan oleh universiti kepada penama dan ia adalah dokumen palsu," katanya di sini, hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa Usim sudah membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

"Usim amat menghargai keprihatinan orang ramai yang membuat aduan dan pertanyaan secara rasmi dan tidak rasmi kepada universiti berkaitan status kelayakan akademik individu berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 10:21 AM