GAMBAR hiasan. Orang ramai mematuhi SOP ditetapkan bagi membendung penularan Covid-19. FOTO Faiz Anuar
GAMBAR hiasan. Orang ramai mematuhi SOP ditetapkan bagi membendung penularan Covid-19. FOTO Faiz Anuar
Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my


Kota Bharu: Sikap rakyat Kelantan yang kurang patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) menjadi punca utama kes di negeri itu masih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata, SOP paling ketara adalah membabitkan pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

"Saya mengakui kes harian Covid-19 di Kelantan masih tinggi. Punca utama adalah sikap kita terhadap kepatuhan SOP.

"Laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatakan masalah sikap punca kepada penyebaran kes di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim, hari ini.

Terdahulu, Abdul Rahman mengemukakan soalan berhubung apakah punca utama kes di Kelantan masih tinggi dan apakah pendekatan yang diambil untuk mengatasi perkara itu.

Mengulas lanjut, Dr Izani yang juga ADUN Kijang berkata, sehingga kini 91 peratus penduduk dewasa di negeri itu sudah lengkap vaksin.

"Pelbagai pendekatan diambil supaya mereka yang belum vaksin tampil berbuat demikian. Bagaimanapun ini kita belum mewajibkan mereka mengambil vaksin sebaliknya mengenakan syarat-syarat tertentu.

"Kita berharap semua pihak memainkan peranan dalam menangani pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 11:16 AM