Gambar fail, pekan Rantau Panjang. FOTO NSTP.
Gambar fail, pekan Rantau Panjang. FOTO NSTP.
Nor Fazlina Abdul Rahim


KELANTAN bercadang menjadikan Rantau Panjang sebagai daerah baharu, dalam usaha menaik taraf kawasan itu sekali gus mampu menarik pelancong.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sebelum ini permohonan untuk menjadikan Rantau Panjang sebagai jajahan sudah dibuat, namun ditolak.

"Kerajaan negeri sedang berusaha menjadikan Rantau Panjang sebagai jajahan baharu. Kalau tidak boleh penuh pun, sekiranya jadi jajahan kecil seperti Lojing pun sudah ok.

"Jika sekarang ini, Rantau Panjang berada di bawah jajahan Pasir Mas. Rantau Panjang sudah boleh dipisahkan kerana pekan berkenaan sudah maju selain menjadi tumpuan pelancong.

"Kita akan buat permohonan sekali lagi," katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Abd Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amar turut meminta peniaga di Rantau Panjang supaya mempelbagaikan jenis barangan yang dijual bagi menarik lebih ramai pelancong.

"Mereka tidak boleh mengharapkan barangan daripada Thailand atau Kemboja sahaja. Mungkin boleh berniaga barang berjenama sekali gus mampu menarik lebih ramai pelancong.

"Jika sekarang mereka yang mahu ke Rantau Panjang hanya disebabkan mahu membeli barang murah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 11:02 AM