GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Agensi
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Agensi
Saiful Haizan dan Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengemas kini dan membuat penilaian secara harian mengenai penularan varian baharu Omicron terhadap negara yang berisiko tinggi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya juga akan menyediakan senarai negara yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi untuk diedarkan kepada Kementerian Luar, Jabatan Imigresen (JIM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

"Ramai yang tanya kenapa hanya negara berkenaan sahaja disekat, tetapi ada juga negara lain yang turut ada penularan Omicron ini tetapi tidak disekat.

"Kita di KKM mengambil kira kewujudan varian Omicron di negara berkenaan sama ada ia daripada kes import atau penularan dalam kalangan komuniti.

"Selain itu kita juga menilai sama ada negara berkenaan mempunyai penularan yang besar dalam tempoh terdekat dan tahap vaksinasi di negara berkenaan," katanya dalam sidang media hari ini.

Khairy berkata, buat masa ini terdapat lapan negara yang disekat daripada memasuki negara ini termasuklah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan terbaharu adalah Malawi.

Beliau berkata, langkah untuk memperketatkan sempadan negara itu hanyalah bersifat sementara sehinggalah pihaknya mengetahui butiran lanjut mengenai penularan varian baharu itu.

"Sekiranya varian ini tidak mengancam kesihatan awam di negara ini, kita akan longgarkan kembali sekatan. Apa yang dilakukan ini adalah selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Kita kini tidak tahu banyak mengenai penularan Omicron, jadi segala arahan adalah bersifat dinamik, sama ada ia akan dilonggarkan atau diperketatkan adalah berdasarkan maklumat harian yang kita terima serta penilaian risiko," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 4:43 PM