Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil beberapa langkah keselamatan bagi mengekang penularan varian baharu Omicron di negara ini termasuk menghentikan sementara penggunaan sistem pagar automatik di lapangan terbang secara serta merta.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, arahan yang dikeluarkan itu bagi membolehkan pegawai daripada Jabatan Imigresen (JIM) dapat menyoal pengembara mengenai sejarah perjalanan mereka.

Beliau berkata, sekiranya sistem pagar automatik itu masih digunakan, JIM tidak dapat mengetahui sama ada pengembara itu pernah mengunjungi negara yang berisiko atau sebaliknya.

Selain itu, katanya, penerbangan yang membawa penumpang dari negara melaporkan penularan varian membimbangkan (VOC) Omicron yang disenaraikan hanya dibenarkan masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sahaja.

"Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) juga perlu menyediakan laluan khas bagi pengembara berkenaan serta syarikat penerbangan bertanggungjawab mengenal pasti pengembara dari negara melaporkan penularan Omicron atau berisiko tinggi yang menaiki penerbangan mereka.

"Laluan khas itu diadakan bagi melaksanakan proses saringan kesihatan dan penyelarasan stesen kuarantin khas yang ditentukan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

KHAIRY ketika sidang media khas mengenai varian Omicron di Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad
KHAIRY ketika sidang media khas mengenai varian Omicron di Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad

Khairy berkata, maklumat pengembara berkenaan kemudiannya perlulah dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan KLIA bagi memudahkan pengendalian ketibaan pengembara negara yang melaporkan penularan Omicron atau negara yang berisiko tinggi.

Sebelum ini Khairy memaklumkan varian Omicron itu mempunyai banyak mutasi termasuk 26 hingga 32 mutasi 'spike protein' serta terdapat 10 mutasi preotein yang melekat kepada 'ACE receptor' yang membolehkan virus berkenaan masuk ke dalam sel badan.

Varian berkenaan juga menular pada kadar yang lebih pantas daripada varian lain dan ia menunjukkan berkemungkinan besar ia lebih mudah merebak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 4:32 PM