FOTO hiasan
FOTO hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Putrajaya: Kerajaan menarik semula sekatan perjalanan sementara ke atas lapan negara berisiko tinggi susulan peningkatan jangkitan membabitkan varian Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, negara berkenaan adalah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

Menurutnya, lapan negara ini akan dimasukkan ke dalam senarai negara berisiko tinggi menjadikan jumlah negara yang berisiko tinggi kini adalah 18 negara.

"Semua negara berkenaan dimasukkan ke dalam senarai negara berisiko tinggi dan berkuat kuasa serta merta.

"Keputusan itu bagi membendung kemasukan pengembara daripada negara berkenaan yang berisiko menyebabkan jangkitan varian Omicron," katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di sini, hari ini.

KKM sebelum ini sudah menyenaraikan negara lain berisiko tinggi varian Omicron antaranya United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Arab Saudi, Norway, Perancis, Denmark, India, Kanada dan Nigeria.

Katanya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sudah menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 366 sampel kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara dari 21 sehingga 25 Disember lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 306 menunjukkan berkemungkinan varian Omicron dan kini menunggu keputusan ujian jujukan penuh.

"Walaupun ada kajian mengatakan varian Omicron menunjukkan gejala ringan namun KKM perlu mengawal penularan lebih awal kerana ia boleh menyebabkan jangkitan segera.

"Apabila ramai yang dijangkiti sudah pasti kapasiti kemasukan ke hospital juga akan meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 6:19 PM