GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seramai 7,556 daripada 14,206 Orang Asli di negeri ini sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 sehingga 17 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, seramai 7,664 orang pula sudah menerima suntikan vaksin dos pertama.

"Di Jempol, seramai 2,013 daripada 2,285 penduduk Orang Asli sudah lengkap divaksin diikuti Seremban (1,680/1,835) dan Jelebu (1,642/1,801).

"Sementara, di Kuala Pilah (1,271/1,447), Rembau (455/458) dan Port Dickson (301/329) serta di Tampin 191 daripada 216 telah menerima dos kedua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Razi Mohd Ali (BN-Sungai Lui) pada sesi pertanyaan mengenai perincian terkini masyarakat Orang Asli yang telah divaksin, di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Veerapan (PH-Repah) berkata, pelbagai usaha dilaksanakan bagi memastikan masyarakat Orang Asli menerima dos vaksin Covid-19.

Menurutnya, antara usaha itu termasuk bekerjasama dengan agensi seperti pejabat daerah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pemimpin setempat.

"Kami juga memberi suntikan awal kepada Tok Batin bagi meningkatkan kepercayaan terhadap vaksin Covid-19 dan pemberian vaksin bagi Orang Asli yang terlantar di rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 4:29 PM