Gambar hiasan
Gambar hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: Walaupun tinggal di pedalaman namun Orang Asli di daerah Jelebu merekodkan jumlah kes positif Covid-19 paling tinggi membabitkan 231 kes setakat hari ini.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan dan Melaka, Shahrani Idderis berkata, ia diikuti Kuala Pilah sebanyak 189 kes, Jempol (125 kes), Seremban (68 kes), Rembau (42 kes) dan Port Dickson (tiga kes).

Beliau bagaimanapun berkata, tiada kes direkodkan di daerah Tampin setakat ini.

"Sehingga semalam, hanya kampung Orang Asli di daerah Jempol masih merekodkan kes positif Covid-19 iaitu di Sungai Sompo sebanyak 47 kes, selain Panchor (34 kes), Jeram Padang dan Batu Peti (2 kes)," katanya tadi.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 82.89 peratus atau seramai 6,942 masyarakat Orang Asli di Negeri Sembilan sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Ulasnya, jumlah itu meliputi keseluruhan 8,470 Orang Asli yang layak divaksinasi membabitkan 69 kampung Orang Asli di Negeri Sembilan.

"Jumlah yang belum divaksin adalah seramai 1,449 orang. Namun jumlah ini mungkin tidak tepat kerana ada antara mereka yang mungkin sudah menerima vaksin secara 'walk-in'.

"Seramai 541 orang yang kebanyakannya warga emas menyatakan mereka masih belum bersedia menerima vaksin. Saya andaikan mereka ini bukannya antivaksin tetapi hanya belum bersedia," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 12 Orang Asli di negeri ini meninggal dunia akibat Covid-19 dengan keseluruhan 658 orang disahkan positif wabak itu setakat Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 3:41 PM