Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang untuk membenarkan syarikat kawalan keselamatan swasta yang berlesen di negara ini menggaji tenaga kerja dari negara sumber baharu iaitu Filipina, Indonesia dan Bangladesh sebagai pengawal keselamatan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu masih di peringkat cadangan oleh kementerian dan akan diperincikan selepas perbincangan dilakukan dengan pemain industri serta kementerian yang berkaitan.

Beliau berkata, pada masa ini, kerajaan hanya membenarkan warga Nepal bekerja dengan syarikat kawalan keselamatan dan cadangan itu bagi mengimbangi kekurangan tenaga kerja warga Nepal dan tempatan untuk bekerja di sektor itu.

"Perbincangan lebih lanjut akan dibuat dengan Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan untuk memastikan tiada masalah lain yang akan timbul nanti apabila kita membawa masuk mereka dari luar negara.

"Umum perlu faham apabila ia berkaitan dengan isu keselamatan, kita perlu memastikan orang luar yang dibawa masuk ke negara ini adalah mereka yang benar-benar mahu bekerja di negara ini (sebagai pengawal keselamatan)," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Dalam Negeri Bersama Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan dan Agensi Persendirian di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) di sini.

Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Jonathan Yasin, Timbalan Menteri Dalam Negeri II Datuk Seri Haji Ismail Mohamad Said, Ketua Setiausaha KDN Datuk Wah Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PKIM) Datuk Ramli Yusuff.

Hamzah berkata, terdapat juga cadangan daripada pemain industri untuk kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan warga India bekerja sebagai pengawal keselamatan, namun perkara itu juga perlu dikaji terlebih dahulu.

"Isu keselamatan adalah isu yang amat sensitif dan keputusan berkenaan cadangan itu hanya akan diumumkan apabila semua perbincangan bersama semua pihak berkaitan selesai kerana ia membabitkan polisi kerajaan," katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, pihaknya turut mencadangkan syarikat kawalan keselamatan swasta untuk menjenamakan semula jawatan pengawal keselamatan untuk menarik minat warga tempatan bekerja di sektor berkenaan dengan gaji setimpal.

"Pengawal keselamatan dipertanggungjawabkan sebagai barisan ketiga pertahanan negara dan kita tidak mahu ia dianggap sebagai perkara yang retorik, justeru kementerian mencadangkan kaedah baru seperti latihan tertentu untuk syarikat dan pekerja.

"Kementerian bercadang menubuhkan Akademi Latihan Industri Keselamatan untuk memberikan pelbagai latihan kemahiran, menggunakan fasiliti sedia ada milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Imigresen dan latihan dijalankan secara kolaborasi," katanya

Menurutnya, semua jenis latihan itu akan dikendalikan oleh agensi di bawah KDN dan peserta akan diberikan sijil pengiktirafan.

"Ini untuk memastikan hanya syarikat kawalan keselamatan swasta yang benar-benar mahir mendapat tender untuk memenuhi keperluan agensi dan jabatan yang memerlukan khidmat mereka.

"Maka latihan ini amat mustahak dan perkara ini sudah diumumkan kepada pemain industri dan mereka menerima baik perkara ini," katanya.

Katanya, sijil dan pengiktirafan itu akan dikeluarkan oleh KDN sendiri kerana terdapat pelbagai agensi penguatkuasaan di bawah kementerian itu yang boleh melatih semua pengawal keselamatan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 5:20 PM