DATUK Seri Hamzah Zainudin. FOTO Bernama
DATUK Seri Hamzah Zainudin. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan rundingan dengan negara sumber pekerja asing bagi sektor keselamatan selain Nepal.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan dasar berhubung cadangan membuka peluang kepada negara lain selain daripada Nepal untuk sektor itu sudah dipersetujui kerajaan.

"Pihak yang terbabit sudah boleh mengemukakan permohonan (mendapatkan pekerja asing) bagaimanapun kemasukan bergantung kepada keputusan negara sumber.

"Kita sudah benarkan kemasukan dari negara lain selain Nepal cuma nak bawa masuk itu bergantung kepada pengalaman kerja sama ada pernah bekerja di sektor keselamatan di negara mereka," katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Maritim Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, KDN mencadangkan untuk menjadikan Bangladesh, Indonesia dan Filipina sebagai negara sumber tenaga kerja bagi memenuhi kekosongan dalam sektor perkhidmatan pengawal keselamatan.

Hamzah sebelum ini dilaporkan berkata, perkara itu dikaji secara terperinci terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat dan kementeriannya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pemegang taruh untuk memastikan tiada isu atau masalah timbul mengenainya nanti.

Pengumuman muktamad akan diumumkan selepas mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkaitan termasuk pemain industri serta agensi kerajaan yang terbabit seperti Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan dan lain-lain lagi.

Ia bagi memastikan bahawa tiada masalah lain yang timbul apabila pekerja-pekerja luar ini mula diimport nanti kerana mereka perlu dipastikan benar-benar bekerja dalam negara dan bukannya menjadi ejen negara luar atau sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 4:10 PM