FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) komited memastikan benih padi sah yang diterima pesawah bukan sahaja berkualiti tetapi harga terkawal dengan bekalan sentiasa mencukupi di pasaran.

Dalam satu kenyataan, Nafas berkata pihaknya memberi jaminan mampu membekalkan benih padi sah dari pelbagai varieti yang diperlukan pesawah bagi seluas 520,000 hektar kawasan penanaman padi di Semenanjung Malaysia.

Katanya, mengikut rekod, stok benih padi sah yang disahkan Jabatan Pertanian adalah 9,000 tan metrik dan yang dalam proses pengesahan adalah 39,000 tan metrik.

"Jumlah berkenaan melebihi keperluan semasa iaitu 36,000 tan metrik bagi satu musim penanaman padi.

"Sehubungan itu, pesawah di seluruh negara adalah diharap tidak gusar atas kemampuan Nafas dalam memastikan bekalan benih padi sah adalah mencukupi untuk keperluan penanaman padi.

"Nafas memainkan peranan besar dalam memastikan industri padi negara dapat berkembang sekaligus memenuhi permintaan pasaran," katanya dalam kenyataan itu.

Menurutnya, Nafas juga komited memastikan benih padi sah yang diedarkan adalah berkualiti dan bekalan benih padi sah di pasaran dengan harga kurang RM35 setiap beg.

Katanya, harga siling RM35 bagi setiap 20 kilogram yang ditetapkan kerajaan mampu mengatasi isu manipulasi harga.

"Pelantikan Nafas sebagai pemborong tunggal dalam pembelian benih padi sah ini dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan membanteras pelbagai isu dan permasalahan benih padi sah yang dialami pesawah sebelum ini," katanya.

Sehingga 12 Mac, sebanyak 212,666 beg atau 4253.32 tan metrik sudah diedarkan ejen rasmi melalui Pertubuhan Peladang Kawasan di Semenanjung Malaysia.

Anggaran keperluan untuk benih padi sah dalam tempoh setahun adalah sebanyak 72,000 tan metrik atau 3.6 juta beg untuk keluasan 520,000 hektar di Semenanjung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 4:51 PM