Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengadakan sidang media selepas Majlis Perasmian Perkampungan Digital Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), di Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Samajaya, hari ini. FOTO IHSAN JABATAN PENERANGAN
Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengadakan sidang media selepas Majlis Perasmian Perkampungan Digital Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), di Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Samajaya, hari ini. FOTO IHSAN JABATAN PENERANGAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menampilkan beberapa calon muka baharu kalangan orang muda bagi mempersiapkan golongan itu sebagai pelapis pemimpin negeri pada masa depan.

Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, langkah meletakkan orang muda sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) akan datang juga selaras dengan hasrat mahu melahirkan pemimpin negeri ini yang berwawasan.

Beliau yang juga Pengerusi GPS berkata, ia selari dengan agenda kerajaan negeri untuk menjadi Sarawak sebagai negeri termaju dalam ekonomi digital di rantau ini.

"Sebab itu kita akan meletakkan beberapa orang muda untuk mewakili GPS pada pilihan raya negeri akan datang.

"Kita mahu membentuk barisan pimpinan muda yang berwawasan dan melihat masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perkampungan Digital Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), di Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Samajaya di sini, hari ini.

Difahamkan, calon kalangan orang muda itu akan mengisi kekosongan ditinggalkan beberapa penyandang yang sudah menyatakan hasrat untuk berundur pada PRN-12.

Mengenai Perkampungan Digital TEGAS, Abang Johari berkata, langkah itu selaras dengan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak komited untuk mewujudkan ekosistem yang membolehkan rakyat menggunakan teknologi dalam pelbagai aktiviti ekonomi.

"Kita melabur dalam infrastruktur digital, terutamanya sambungan internet serta menubuhkan Sarawak Multimedia Authority (SMA) untuk mengawal selia pembangunan digital di negeri ini.

"Bagaimanapun, kita juga memerlukan rakyat menyedari kepentingan ekonomi digital dan teknologi dalam era moden untuk seiring dengan pembangunan di seluruh dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 5:36 PM