ABANG Johari selepas lawatan kerja ke Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap. FOTO ihsan Unit Komunikasi Awam Sarawak
ABANG Johari selepas lawatan kerja ke Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap. FOTO ihsan Unit Komunikasi Awam Sarawak
Mohd Roji Kawi


Belaga: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengucapkan penghargaan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12).

Ketua Menteri Sarawak itu berkata, keputusan dua parti itu menunjukkan semangat setiakawan yang baik sebagai rakan gabungan di peringkat persekutuan.

Abang Johari berkata, beliau juga yakin keputusan itu dibuat kerana pimpinan dua parti itu memahami situasi politik Sarawak.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden BERSATU) dan Tan Sri Annuar Musa (Ahli Majlis Tertinggi UMNO) yang mengumumkan untuk tidak meletakkan calon masing-masing pada pilihan raya Sarawak.

"Ini satu semangat yang baik kalangan kita khususnya kerana kita ada wakil dalam Kerajaan Pusat, BERSATU ada dan BN juga ada," katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika ditemui media selepas beliau mengadakan lawatan kerja ke Daerah Kecil Sungai Asap, di sini, hari ini.

Menurutnya, dua parti itu faham dan memberi ruang kepada rakyat Sarawak sendiri untuk menentukan hala tuju Sarawak.

"Dengan semangat yang ditunjukkan itu, kita boleh menjadi rakan dalam gabungan Malaysia untuk membangunkan negara," katanya.

BERSATU mempunyai satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak iaitu di Krian dan dengan pengumuman Muhyiddin semalam, penyandang kerusi itu, Datuk Ali Biju dijangka memberi laluan kepada GPS.

GPS sebelum ini sudah memutuskan untul bertanding di semua 82 kerusi DUN pada PRN-12 yang akan diadakan 18 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 3:55 PM