GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Kos menunaikan ibadah haji untuk musim 1443H/2022 akan dimuktamadkan selepas dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Beliau berkata, pihak Tabung Haji yang baru kembali dari Arab Saudi akan memberi taklimat kepadanya berkaitan kos mengerjakan haji dalam masa terdekat.

"Naik atau tidak, tunggu keputusan yang akan diputuskan oleh Kabinet," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Kedutaan China di Malaysia kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Food Bank di sini hari ini.

Idris sebelum ini dilaporkan berkata kos mengerjakan ibadah haji dijangka meningkat berikutan perkembangan terkini berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan ketat yang dikuatkuasakan kerajaan Arab Saudi bagi membendung penularan COVID-19 dalam kalangan jemaah haji.

Idris juga berkata Tabung Haji sedang menyemak dengan terperinci kos yang terkesan akibat kadar inflasi serta peraturan dan cukai baharu di Arab Saudi termasuk caj visa haji yang diperkenalkan pada musim haji 1441H/2020, selain kenaikan kadar cukai nilai tambah (VAT) di Arab Saudi daripada lima peratus kepada 15 peratus bermula Julai tahun lalu.

Mac lalu media melaporkan kos mengerjakan haji tahun ini meningkat kira-kira sembilan peratus kepada sekurang-kurangnya RM25,000 bagi seorang jemaah haji berbanding RM22,900 pada 2019 dan 2020.

Ketika ini, bayaran yang perlu ditanggung jemaah haji negara adalah RM9,980 dan tidak pernah berubah sejak 2009, manakala baki RM12,920 ditanggung Tabung Haji.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 2:06 PM