TABUNG Haji.
TABUNG Haji.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Prestasi pasaran pelaburan domestik dan global sehingga akhir tahun ini bakal menjadi penentu sama ada Lembaga Tabung Haji (TH) dapat mengekalkan tahap agihan keuntungan untuk tahun 2022 seperti tahun sebelumnya.

Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan TH Mustakim Mohamad berkata, meskipun berdepan pelbagai cabaran untuk mengekalkan kadar agihan keuntungan sebagaimana institusi pelaburan lain di Malaysia berikutan krisis semasa pasaran dalam dan luar negara, TH akan terus berusaha untuk memberi pulangan yang munasabah kepada pendepositnya.

"Keadaan persekitaran pelaburan ketika ini adalah amat mencabar bagi semua institusi pelaburan, termasuk TH, untuk mengekalkan tahap agihan keuntungan bagi tahun 2022 seperti tahun sebelumnya.

"Seperti semua pelabur, TH tidak terkecuali berhadapan dengan kesan pascapandemik Covid-19 yang masih belum berakhir, yang memberi tekanan berkembar dari sudut pendapatan (disebabkan kenaikan kadar pembiayaan, kelemahan ekonomi dan pasaran) dan juga perbelanjaan (disebabkan peningkatan inflasi dan kelemahan kadar tukaran mata wang asing)," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau menambah, TH akan terus berusaha sedaya upaya untuk memberikan pulangan yang munasabah kepada pendepositnya, selari dengan mandat penubuhan badan itu untuk menguruskan simpanan umat Islam bagi menunaikan haji.

Menurut Mustakim, perang antara Rusia dan Ukraine, polisi sifar Covid-19 China, kenaikan ketara kadar inflasi, peningkatan ketara kadar pinjaman/pembiayaan, kelemahan atau kemerosotan ekonomi, ketidaktentuan pasaran saham dan modal serta penyusutan nilai ringgit berbanding mata wang asing terutamanya dolar Amerika Syarikat (AS) memberi kesan negatif terhadap THdan institusi pelaburan lain di Malaysia.

Katanya, semua institusi pelaburan termasuk TH tidak terkecuali daripada terkesan dengan kelemahan ekonomi dan pasaran terutama apabila indeks FBM KLCI terjejas melebihi 10 peratus dan pasaran global turun sekitar 30 peratus sepanjang tahun 2022.

Mustakim berkata, kesan penurunan ketara pasaran saham diburukkan lagi dengan peningkatan kadar pembiayaan yang memberi kesan kepada nilai instrumen pendapatan tetap seperti sukuk.

Sementara itu, Mustakim berkata, peningkatan kos haji secara mendadak berikutan kos tambahan yang dikenakan pihak berwajib Arab Saudi dijangka memberi kesan kepada jumlah agihan keuntungan TH pada tahun ini.

"Bagi dua tahun sebelum ini (2020 dan 2021), kita tidak menghantar jemaah Malaysia untuk mengerjakan ibadah haji disebabkan oleh larangan dari kerajaan Arab Saudi berikutan pandemik Covid-19, justeru TH tidak menanggung perbelanjaan berkaitan haji termasuk bantuan kewangan haji.

"(Bagaimanapun), jemaah haji dari luar Arab Saudi sudah dibenarkan menunaikan haji semula pada tahun ini, dan jumlah bantuan kewangan haji yang ditanggung oleh TH adalah hampir RM200 juta ditambah belanja operasi yang ditanggung berjumlah hampir RM50 juta," katanya.

Mustakim berkata, bagi memastikan simpanan pendeposit tidak terlalu terjejas oleh ketidaktentuan pasaran, THsudah melaksanakan pelaburan berhemah dan berdaya tahan (defensive).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 10:33 AM