FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Pasir Mas: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) menahan 64 lelaki dan empat wanita, termasuk warga asing, yang disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand menerusi Op Benteng Covid sejak sebulan lalu.

Pegawai Pemerintah PGA9 Superintendan Azizan Yusof berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan cuba diseludup bernilai lebih RM3.5 juta.

"Antaranya haiwan ternakan, beras, cecair rokok elektronik, anjing serta burung. Kami turut merampas 52 kenderaan pelbagai jenis disyaki digunakan dalam kegiatan terbabit," katanya pada kenyataan hari ini.

Nor Azizan berkata, taktik penyeludup adalah membawa masuk barangan dari negara jiran melalui pangkalan haram dan meninggalkan barangan itu di tebing Sungai Golok untuk diambil pihak lain.

"Sebahagian besar penyeludup ditahan di beberapa lokasi panas yang bersempadan dengan Thailand iaitu di Pasir Mas, Rantau Panjang, Tanah Merah dan Tumpat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 1:10 PM