Pelbagai jenis beras seludup dirampas. FOTO IHSAN PGA9
Pelbagai jenis beras seludup dirampas. FOTO IHSAN PGA9
Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas lebih empat tan pelbagai jenis beras seludup di Kampung Limau Purut, Lubok Stol di sini, tengah malam semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9 Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, beras terbabit ditemui disembunyikan di bawah timbunan guni berisi kulit kelapa.

"Operasi dijalankan jam 12.30 tengah malam di sebuah bangsal yang digunakan untuk menyimpan kulit kelapa.

"Pemeriksaan menemui beras terbabit yang diseludup dari Thailand," katanya pada kenyataan hari ini.

Ia membabitkan rampasan 3.34 tan beras, 600 kilogram (kg) beras pulut serta 100kg beras nasi dagang dengan nilai keseluruhan RM18,560.

Beras terbabit kemudiannya diserah ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut,

Nor Azizan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.

Dalam perkembangan lain, PGA9 turut merampas pelbagai jenis barangan seludup termasuk beras, sosej, jam tangan dan beg bernilai RM18,859 di sebuah rumah berdekatan pangkalan haram Kak Mah di sini, jam 7.30 pagi tadi.

"Rumah itu dijadikan lokasi transit untuk menyimpan barangan seludup sebelum dihantar kepada peniaga sekitar negeri ini.

"Rampasan dibuat selepas anggota kami terserempak dengan sekumpulan lelaki sedang menjalankan kegiatan penyeludupan di kawasan terbabit," katanya.

Menurut beliau, kumpulan lelaki terbabit terus melarikan diri ke seberang menggunakan perahu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(E) Akta Kastam 1967.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 5:19 PM