Sebanyak 9,700 kotak cecair vape pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM150,000 yang tersorok dalam sebuah kereta di Kampung Simpangan dirampas oleh sepasukan anggota PGA9 petang semalam. FOTO IHSAN PGA
Sebanyak 9,700 kotak cecair vape pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM150,000 yang tersorok dalam sebuah kereta di Kampung Simpangan dirampas oleh sepasukan anggota PGA9 petang semalam. FOTO IHSAN PGA
Oleh Siti Rohana Idris


Tumpat: Sindiket penyeludupan kini menjadikan kenderaan sebagai tempat simpanan sementara sebelum ia diseludup namun taktik terbabit dapat dipatahkan pihak berkuasa.

Taktik itu terbongkar selepas anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 9,700 kotak cecair vape pelbagai jenama bernilai RM150,000 disorok dalam sebuah kereta di Kampung Simpangan di sini, jam 5 petang semalam.

Cecair vape terbabit disyaki sedia untuk diseludup ke Thailand.

Pegawai Pemerintah Medan PGA9 Superintendan Azhari Nusi berkata, anggotanya melakukan rondaan di lokasi itu sebelum mendapati sebuah Proton Wira di parkir di depan sebuah rumah dalam keadaan mencurigakan.

"Kereta itu dibiarkan tidak berkunci selain terdapat anak kunci didalamnya.

"Hasil siasatan, kami dapati, penyeludup kini akan meninggalkan kenderaan di tepi jalan atau di parkir di halaman rumah mana-mana individu sebagai transit sebelum barangan berkaitan diseludup," katanya dihubungi hari ini.

Azhari berkata, anggotanya menunggu selama setengah jam sebelum didatangi seorang lelaki berusia 53 tahun yang mengaku barangan terbabit mahu diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram di Sungai Golok.

Kata beliau, lelaki terbabit turut mengakui barangan berkenaan adalah kepunyaannya.

"Semua rampasan, termasuk kenderaan serta lelaki itu dibawa ke Kompeni Taktikal Kuala Jambu untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 1:10 PM