ANTARA pengunjung yang diperiksa ketika serbuan di pusat hiburan. FOTO Zuhainy Zulkiffli
ANTARA pengunjung yang diperiksa ketika serbuan di pusat hiburan. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Dua wanita hamil antara puluhan pengunjung pusat hiburan di Jalan Magazine di sini, yang sanggup bersembunyi di tangki air bagi mengelak dicekup pihak polis dalam operasi, hari ini.

Tindakan mereka bagaimanapun gagal selepas dikesan polis dalam serbuan yang bermula 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, menerusi serbuan itu, 49 pengunjung ditahan dan 24 daripada mereka yang berusia 25 hingga 50 tahun itu positif dadah.

"Dalam serbuan itu, dua lelaki tempatan ditahan atas kesalahan menggajikan pekerja warga asing tanpa permit sah.

"Manakala lima wanita warga asing pula didapati melanggar syarat pas lawatan sosial dan bekerja sebagai pelayan.

"Turut ditahan ialah dua lelaki dan tiga wanita warga asing kerana tiada dokumen perjalanan yang sah," katanya di sini, hari ini.

Operasi berkenaan turut membongkar laluan tikus yang diguna pengunjung bagi melarikan diri.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bagi siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 manakala bagi kesalahan dadah pula mengikut Seksyen 15(1)(a) 1952 Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 4:03 PM