Sekitar suasana menjelang Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka. FOTO ASYRAF HAMZAH
Sekitar suasana menjelang Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka. FOTO ASYRAF HAMZAH
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Biarpun tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah memasuki hari keempat namun Perikatan Nasional (PN) hingga kini masih belum menamakan seorang calonnya sebagai Ketua Menteri jika mereka menang PRN.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, fokus PN kini untuk menang pada PRN dan kemudiannya memutuskan mengenai calon terbabit.

"Di peringkat PN, fokus kita untuk menang PRN dan kemudian baru kita akan bincang dan umumkan. Kita serahkan urusan penamaan calon ini untuk dibincang di peringkat pimpinan tertinggi.

"Perbincangan (berkaitan calon Ketua Menteri) sebenarnya sudah berlaku dan kita sudah ada idea siapakah akan dinamakan, biarlah ia diumumkan oleh pimpinan tertinggi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Barisan Nasional (BN) sebelum ini menamakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang dipertaruhkan di kerusi Dun Lendu sebagai calon Ketua Menteri Melaka, manakala Pakatan Harapan (PH) pula menamakan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari sebagai calonnya.

Ura-ura membayangkan calon PN Dun Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, antara calon berpotensi untuk dinamakan sebagai Ketua Menteri jika gabungan itu menang PRN.

Mengenai pembentangan manifesto PN, Wan Saiful berkata ia akan diumum dalam tempoh terdekat, di sebalik baki tempoh berkempen kini hanya tinggal lapan hari.

"Kita akan umumkan aku janji kita beberapa hari lagi. Kita tawarkan daripada gabungan ini, atas tawaran itu kita yakin akan ada kestabilan dan kemakmuran yang boleh dikongsikan," katanya.

Beliau juga berharap, pengundi Melaka memberi kepercayaan kepada calon PN supaya sebuah kerajaan yang stabil dapat diwujudkan selepas PRN nanti.

"Saya mengharapkan rakyat beri undi sepenuhnya kepada PN sebab kita perlukan kestabilan dalam kerajaan. Sebab apa yang berlaku, apabila bilangan majoriti tidak dijaga, akibat daripada situasi begitu, maka berlaku PRN.

"Kita harap rakyat ambil iktibar dari apa yang berlaku dan memilih PN supaya kita boleh bentuk kerajaan kuat. Jika tidak dapat dicapai (tiada gabungan ada majoriti), kita tunggulah selepas PRN," katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRN Melaka
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 4:45 PM