Hamzah Zainudin.
Hamzah Zainudin.
Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) akan membuat pengumuman mengenai kemasukan kira-kira 10 'warlord' daripada Umno ke gabungan itu, tidak lama lagi.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pengumuman itu akan dibuat semasa program yang diaturkan oleh mereka.

"Kita tengah buat perancangan untuk kita umumkan dalam waktu yang terdekat. Ia akan disesuaikan dengan program-program yang telah kita aturkan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Razali Idris sebelum ini mendakwa sekurang-kurangnya 10 'warlord' daripada Umno dijangka akan menyertai PN sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya dilaporkan mengucapkan selamat maju jaya kepada beberapa bekas pemimpin parti itu yang akan menyertai PN sebelum PRN.

Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan, hanya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan mengadakan perbincangan dengan Khairy Jamaluddin mengenai dakwaan penyertaan bekas Ahli Parlimen Rembau ke gabungan itu.

"Itu kena tanya dia (Khairy). Biar (Khairy) dengan Presiden saya (Muhyiddin) berbincang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 2:23 PM