Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan. FOTO ARKIB NSTP
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan. FOTO ARKIB NSTP
Oleh Ahmad Suhael Adnan


Ayer Keroh: Calon parti Perikatan Nasional (PN) berpotensi untuk menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini berdasarkan data dan kaji selidik penganalisis pilihan raya.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, bagaimanapun ia masih terlalu awal untuk pihaknya berasa selesa walaupun maklumat yang diperoleh jentera parti di lapangan mengesahkan beberapa kawasan menunjukkan sentimen yang positif kepada PN.

"Saya tak nak kata kita selesa, tapi kita yakin bahawa potensi itu ada. Kalau kata yakin dapat, nanti kita mula ambil mudah pula.

"Kita perlu terus usahakan supaya rakyat mendapat maklumat yang betul dan dengan maklumat itu, mereka akan membuat keputusan untuk memilih PN," katanya pada sidang media di pejabat BERSATU Hang Tuah Jaya di sini, hari ini.

Hadir sama Penyelaras Penerangan Kempen PRN Melaka PN, Badrul Hisham Shahrin, calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Muhammad Al Afiz Yahya dan calon PN DUN Ayer Molek, Mohd Fadly Samin.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, sebuah parti politik 'yang sombong' mengusulkan perbincangan dengan PN untuk meneliti kemungkinan mewujudkan kerajaan gabungan pasca PRN Melaka.

"Kita percaya parti itu mula terbuka untuk berunding kerana mula sedar dengan situasi mencabar dan persaingan sengit dihadapi semua pihak yang bertanding dalam PRN Melaka.

"Bagi semua parti, situasi adalah mencabar. Yang sombong dulu pun dah mula kata, mungkin kita boleh bincang dah (situasi) selepas PRN," katanya yang enggan mendedahkan nama parti itu sama ada perbincangan sudah bermula dengan BERSATU.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PN yakin mampu menawan sekurang-kurangnya 15 kerusi DUN pada Sabtu ini, sekali gus membentuk kerajaan Melaka yang baharu.

  • Lagi berita berkaitan PRN Melaka
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 3:15 PM