Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Lapan belas kompaun bernilai keseluruhan RM60,000 dikeluarkan ke atas individu termasuk empat wanita yang berkumpul bagi mengikuti dan menyaksikan aktiviti perubatan tradisional, 'main puteri' di Kampung Sungai, Bachok dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun itu pada 2 pagi, selepas 14 lelaki dan empat wanita berusia antara 23 hingga 63 tahun mengingkari arahan supaya bersurai.

Katanya, tiga penganjur dikenakan RM10,000 setiap seorang, manakala 15 individu lain masing-masing menerima RM2,000.

"Kita dimaklumkan mengenai aktiviti itu pada 12.30 tengah malam yang membabitkan sejumlah orang berkumpul dan pemeriksaan mendapati terdapat lebih 100 orang berhimpun (ketika itu) serta telah diarah bersurai.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

"Bagaimanapun, ada yang tidak mengendahkannya dan pada jam 2 pagi, ketika pemantauan sekali lagi dibuat, didapati mereka masih berhimpun untuk aktiviti sama.

"Ramai yang melarikan diri (sebaik melihat polis) namun 18 orang berjaya ditahan dan kompaun dikeluarkan kepada tuan rumah acara itu dan mereka yang terbabit," katanya yang ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, semua kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 8 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 kerana melakukan aktiviti terlarang.

"Aktiviti seperti itu yang berkumpul beramai-ramai tidak dibenarkan kerana kes Covid-19 masih lagi tinggi. Ini adalah satu pengajaran memandangkan penularan kes di Kelantan meningkat daripada lebih 300 kes kepada lebih 800 masa ini.

"Kita harap masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi menurunkan kes Covid-19 (mengelak penularan)," katanya.

Sejak Mac sehingga semalam, sebanyak 5,359 saman dan kompaun dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan melanggar SOP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 4:24 PM