Oleh Norul Awatif Romli


Alor Setar: Hampir 200 peserta perhimpunan haram berhimpun di kawasan Menara Alor Setar, di sini, dengan memakai baju kuning dan membawa sepanduk.

Peserta dilihat mula berkumpul di dataran Masjid Zahir kira-kira 8.30 malam dan berarak ke dataran Menara Alor Setar terletak kira-kira 200 meter.

Berikutan itu, kesesakan lalu lintas berlaku selepas laluan jalan raya sepanjang Jalan Alor Kanchut ke arah pusat bandar terpaksa ditutup kepada kenderaan selama hampir dua jam selain kawalan keselamatan turut dibuat oleh beberapa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Bagaimanapun, kira-kira 11 malam peserta perhimpunan dilihat mulai bersurai.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Aini, 33, berkata, kewujudan perhimpunan seumpama itu bukan saja menyusahkan ramai pihak terutama peniaga sepertinya, malah mengundang persepsi negatif dalam kalangan pelancong dari luar yang datang ke kawasan Menara Alor Setar.

"Saya berniaga makanan di sini (Menara Alor Setar) setiap hari dan apabila berlaku perhimpunan seumpama itu, ia merugikan kami kerana ramai peserta membuat bising sehingga mengundang takut kepada pelanggan untuk datang makan di kedai.

“Saya harap pihak berkenaan (peserta perhimpunan) dapat menggunakan saluran yang betul sekiranya mahu mengadakan protes dan tidak menjadikan lokasi tumpuan keluarga untuk berlibur sebagai tempat 'menunjuk perasaan',” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 12:26 AM