HAZANI. FOTO Bernama
HAZANI. FOTO Bernama
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sebanyak 260 pasukan membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Kereta Peronda (MPV) dikerah untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan tumpuan sepanjang sambutan Tahun Baru 2021.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pemantauan meliputi aktiviti mandi-manda di pantai di seluruh negeri yang menjadi budaya orang ramai setiap kali menyambut tahun baru.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya ingin mengingatkan aktiviti sambutan tahun baru membabitkan perhimpunan ramai di tempat awam adalah tidak dibenarkan seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 28 Disember lalu.

"PDRM akan membuat pemantauan terhadap pematuhan SOP Covid-19 dan rondaan di seluruh negeri terutamanya kawasan tumpuan ramai.

"Unit MPV pula ditugaskan untuk membuat hebahan mengenai larangan berkumpul dan berhimpun," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hazani berkata, sebarang perlanggaran SOP akan diambil tindakan sewajarnya sama ada dikenakan kompaun, tangkapan kepada mereka yang ingkar ataupun diarahkan bersurai.

Katanya, dalam masa sama, polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar membuat aktiviti mandi-manda di pantai berikutan amaran cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia yang meramalkan hujan lebat dan angin kencang.

"Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan angin kencang berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam di sebahagian besar perairan negeri ini dengan ombak dijangka mencapai 3.5 meter sehingga 2 Januari depan.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 4:22 PM