PASAR Awam di Air Itam. FOTO Ihsan Facebook
PASAR Awam di Air Itam. FOTO Ihsan Facebook
Zuhainy Zulkiffli


WALAUPUN sudah diberi amaran, namun orang ramai masih lagi bersesak di Pasar Awam Air Itam, Georgetown bagi membeli barang keperluan harian.

Keadaan itu menyebabkan anggota Unit Trafik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) terpaksa memberi arahan dengan pembesar suara bagi meminta mereka bersurai.

Namun, mereka terus masuk ke dalam pasar selain kelihatan pelanggan duduk di bangku menunggu makanan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasakan sejak kelmarin.

Penghantar makanan, Mohd Izham Sukri, 38, berkata dia sering menghantar makanan di premis berhampiran dan mendapati orang ramai bersesak di pasar itu terutama pada waktu pagi.

Katanya, paling membimbangkan apabila ada antara mereka tidak memakai penutup mulut dan hidung.

“Sepanjang saya tinggal di sini sejak 20 tahun lalu, belum pernah lagi tempat ini dikosongkan termasuk pada musim perayaan dan memang agak sukar bagi anggota penguat kuasa mengarahkan mereka bersurai.

“Pihak berkuasa perlu lebih kerap melakukan rondaan di kawasan itu bagi mengarahkan orang ramai tidak berkumpul,” katanya.

Semalam, rakaman video berdurasi sembilan minit tular menunjukkan sikap orang ramai yang tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa apabila bertumpu di pasar berkenaan.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang berkata, pihaknya sentiasa mengadakan rondaan bagi memantau kegiatan orang ramai di kawasan berkenaan.

Katanya, jika arahan larangan itu tidak dipatuhi, MBPP akan mengambil tindakan lebih tegas dengan menarik lesen peniaga di kawasan itu.

“Kita sudah berikan nasihat, buat rondaan dan keluarkan arahan, namun sekiranya tidak dipatuhi maka lesen perniagaan mereka boleh ditarik balik.

“Itu cara paling tegas kerana mereka mengambil mudah mengenai wabak (Covid) ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 6:36 PM