ORANG ramai bergambar di kolam takungan banjir di Taman Semabok Perdana. FOTO Amir Mamat
ORANG ramai bergambar di kolam takungan banjir di Taman Semabok Perdana. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat

HASRAT sekumpulan individu menikmati pemandangan indah bunga keladi bunting di kolam takungan banjir di Taman Semabok Perdana, Melaka, tidak kesampaian apabila ditahan polis, tengah hari tadi.

Sekurang-kurangnya 20 individu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk dikompaun kerana ingkar dengan arahan supaya bersurai.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mereka yang berusia 19 hingga 55 tahun itu dikompaun RM1,000 setiap seorang selepas berdegil dengan kekal berkumpul di kawasan berkenaan, meskipun diarah bersurai.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak membenarkan orang ramai berkumpul di mana-mana kawasan rekreasi bagi mengelakkan penularan Covid-19.

"Dalam kejadian 12 tengah hari itu, kira-kira 20 pemandu dan penumpang kereta yang berhenti di kawasan berkenaan untuk merakam gambar bunga keladi bunting ditahan polis sebelum mengarahkan mereka termasuk tiga bayi dan tujuh warga emas ke IPD Melaka Tengah, di Banda Hilir.

"Mereka dikompaun sebanyak RM1,000 mengikut Peraturan7 (1) Peraturan-Peraturan pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan ) (No 6) 2020," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Afzanizar berkata, pihaknya dengan kerjasama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mula mengawal ketat kawasan berkenaan sejak semalam selepas mendapati kehadiran orang ramai yang tinggi selain tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang masih berdegil berkumpul di kolam takungan itu dan meminta masyarakat kekal mengurangkan pergerakan memandangkan penguatkuasaan PKPB masih berjalan.

Sementara itu, tinjauan di kawasan berkenaan bermula 3.30 petang sehingga 5.30 petang tadi mendapati tidak ada kenderaan orang awam berada di sepanjang kolam takungan banjir berkenaan berbanding sebelum ini selain dikawal ketat oleh petugas keselamatan.

Kawasan yang sebelum ini menjadi lokasi kaki pancing mula menjadi tumpuan orang ramai bagi melihat keindahan pemandangan semula jadi yang dihiasi bunga keladi bunting berwarna ungu sejak minggu lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 6:35 PM