ANGGOTA Polis sedang mengawasi laluan masuk ke Pusat Penamaan Calon Dun Bukit Katil di Dewan Bukit Katil, Melaka . FOTO Syafeeq Ahmad
ANGGOTA Polis sedang mengawasi laluan masuk ke Pusat Penamaan Calon Dun Bukit Katil di Dewan Bukit Katil, Melaka . FOTO Syafeeq Ahmad
BERNAMA

Alor Gajah: Polis menerima dua laporan berhubung tindakan calon membawa penyokong di dua pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, laporan membabitkan kejadian di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara di sini serta Kompleks Komuniti Desa (KKD) Telok Mas di Melaka Tengah.

"Terdapat antara 20 hingga 25 penyokong yang berkumpul kira-kira 100 meter dari pusat-pusat penamaan calon berkenaan namun disuraikan anggota polis yang bertugas.

"Arahan penyelarasan tugas telah dikeluarkan bahawa laporan polis hendaklah dibuat kepada mana-mana pihak yang membawa penyokong di pusat penamaan calon," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa meninjau proses penamaan calon di Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara di sini hari ini.

Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara menjadi lokasi pencalonan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang dianggap 'panas' membabitkan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari Perikatan Nasional (PN) dan Zainal Hassan dari Pakatan Harapan (PH).

Sementara Kompleks Komuniti Desa Telok Mas di Melaka Tengah, adalah lokasi berlangsungnya pencalonan bagi kerusi DUN Telok Mas membabitkan pertandingan empat penjuru iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dari PN, Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas), Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (PH) dan Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.

  • Lagi berita berkaitan PRN Melaka
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 2:14 PM