SUASANA di pekarangan pusat penamaan calon bagi kawasan Dun N10 Asahan di Dewan Besar Kolej Komuniti Selandar, Jasin, hari ini. FOTO Bernama.
SUASANA di pekarangan pusat penamaan calon bagi kawasan Dun N10 Asahan di Dewan Besar Kolej Komuniti Selandar, Jasin, hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Melaka: Semua 28 pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditutup pada 10 pagi hari ini.

Proses penamaan calon bermula 9 pagi berlangsung dalam suasana norma baharu, tanpa perarakan penyokong yang mengiringi calon sehingga ke pusat penamaaan.

Kebenaran hanya diberikan kepada calon, pencadang dan penyokong calon atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka untuk masuk ke dalam pusat penamaan bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh akan mengadakan sidang media berhubung proses penamaan calon di Menara Persekutuan di sini, pada 11 pagi hari ini.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 4 Oktober lepas, susulan empat Ahli Dun menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan Dun, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 10:34 AM