REMAJA perempuan maut akibat terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Jinjang. FOTO Ihsan Polis.
REMAJA perempuan maut akibat terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Jinjang. FOTO Ihsan Polis.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Remaja berusia 13 tahun maut akibat terjatuh dari tingkap di tingkat 16 sebuah pangsapuri di Jinjang Utara, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu dari orang awam pada 4.14 petang.

Menurutnya, hasil temu bual kakak mangsa menyatakan sebelum kejadian adik perempuannya itu berkelakuan normal.

"Semasa kejadian berlaku, kakak mangsa meninggalkan mangsa yang sedang bermain permainan komputer untuk ke tandas.

"Mangsa disyaki tergelincir dari tingkap tidak berjeriji dalam bilik utama rumah berkenaan.

"Siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam insiden ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata, kedua beradik itu tinggal di kediaman berkenaan bersama pakcik dan makcik mereka kerana ditinggalkan ibu selepas pemergian bapa kandung mereka.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur dan mayatnya dihantar ke unit forensik untuk dibedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

"Polis Sentul menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi Bilik Gerakan Ib7 Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 9:25 PM