GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sebuah pangsapuri persendirian di Taman Usahawan, Kepong, di sini, yang dijadikan sarang pelacuran sejak tiga minggu lalu diserbu polis semalam.

Dalam serbuan jam 10 malam itu, polis menahan empat wanita warga asing kerana disyaki menjadi pelacur.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, empat wanita itu berusia antara 26 hingga 37 tahun.

"Polis merampas wang tunai anggaran RM300, kondom, minyak urut dan pelincir.

"Semua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan menyalahguna permit pekerjaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Eng Lai berkata, polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak terbabit di dalam aktiviti tidak sihat.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di 03-40482206," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 12:31 PM