FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Pucuk pimpinan Umno, PAS dan Bersatu Melaka dicadang bergabung untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagi suami isteri berlainan parti, Mohamad Nasri Jaafar, 47, yang juga Ketua Cawangan PAS Kampung Lendu dan isterinya, Norasidah Mohd, 47, ahli Umno, mahu melihat Muafakat Nasional (MN) serta Perikatan Nasional (PN) bekerjasama pada PRN serta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di peringkat Pusat kelak.

Mohamad Nasri berkata, penyatuan itu perlu bagi mengelak pertembungan tiga atau lebih parti yang diterajui Bumiputera.

"Jika berlaku pertembungan ini, ia tidak memberi apa-apa kelebihan buat parti Bumiputera ini kecuali kemungkinan hilang kuasa.

"Jalinan kerjasama ini penting untuk agama dan bangsa namun pada masa sama, turut menjaga dan memelihara keharmonian semua kaum," katanya.

Sementara itu, Norasidah berkata, sebelum ini, abangnya yang juga Ketua Cawangan Bersatu Kampung Lendu turut tinggal bersama mereka.

"Kami bertiga tinggal di bawah satu bumbung namun kami tidak pernah bergaduh kerana sokongan politik.

"Bagaimanapun, abang meninggal dunia tahun lalu dan kini, walaupun berbeza ideologi, saya dan suami tetap percaya yang Umno, PAS dan Bersatu perlu bersama-sama untuk berdepan PRN kali ini," katanya.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Umno akan memutuskan kerjasama politik dengan parti tertentu dalam menghadapi PRN Melaka.

Kata Mohamad, setakat ini, Umno belum membuat keputusan mengenai perkara terbabit tetapi yang penting, Umno mesti bersiap sedia menyiapkan jentera parti.

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno berkata, pihaknya turut menyerahkan kepada BN negeri untuk mencadangkan kerjasama parti itu dengan PN pada PRN.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 12:40 PM