TUAN Ibrahim (kanan) diiringi Ahmad Yunus (kiri) menandatangani plak perasmian Bangunan Pas Selangor di Seksyen 13 Shah Alam hari ini. FOTO Bernama
TUAN Ibrahim (kanan) diiringi Ahmad Yunus (kiri) menandatangani plak perasmian Bangunan Pas Selangor di Seksyen 13 Shah Alam hari ini. FOTO Bernama
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Rundingan Pas bersama Umno dan Bersatu masih berjalan dalam usaha mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hujung November depan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rundingan itu amat penting kerana Pas sedaya-upaya mahu mengelak bertembung dengan kerusi dimiliki Umno dan Bersatu.

"Kita cuba elak tiga penjuru, rundingan sedang berjalan. Kita akan usahakan untuk meminimumkan pertembungan. Mungkin satu dua kerusi itu tidak boleh elak, kita akan hadapi.

"Tetapi sekurang-kurangnya jangan terlampau banyak pertembungan tiga penjuru di antara Pas, Umno dan Bersatu kerana semua mengakui pertembungan akan merugikan. InsyaAllah kita akan teruskan rundingan muafakat, pasti ada jalannya.

"Saya lebih suka mengelak pertembungan sesama kita tetapi kita tumpukan kepada Dewan Undangan Negeri (Dun) yang belum pernah dimenangi. Kena buat kerjalah siapa dominan di situ," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian Bangunan Pas Selangor di Persiaran Akuatik di Seksyen 13, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Khairi.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim memberi bayangan Pas mungkin akan bertanding di lima kerusi dalam PRN Melaka tetapi tidak mendedahkannya.

"Pas berhasrat bertanding lima kerusi (PRN Melaka) tetapi dah sebut pada Timbalan Presiden Umno (Datuk Seri Mohamad Hasan) Pas tidak akan ambil kerusi Umno.

"Kita ada dalam 28 kerusi di Melaka di mana Umno ada 13 atau 14 kerusi. Jadi lebih kurang ada 14 lagi kerusi yang kita boleh duduk berbincang untuk kita elak bertembung," katanya.

Mengenai ketetapan yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung larangan penganjuran sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya yang berkuat kuasa esok, Tuan Ibrahim berkata, Pas akan menggunakan media sosial sebagai salah satu kaedah kempen.

"Kita menyambut baik keputusan KKM bagi mengelakkan penyebaran Covid-19. Kita tidak jangka pun akan ada PRN Melaka.

"Jadi kerana terpaksa buat pilihan raya, Pas hanya akan menggunakan pendekatan yang dibolehkan saja di mana penggunaan kali ini banyak kepada media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 12:27 AM