PULAU Perhentian. FOTO NSTP
PULAU Perhentian. FOTO NSTP
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Suasana suram Pulau Perhentian kembali meriah apabila pelancong mengambil kesempatan membawa keluarga bercuti selepas dibuka semula pada 20 September lalu.

Sebelum ini, segala aktiviti pelancongan di pusat peranginan terkenal itu ditangguhkan buat sementara waktu berikutan penularan kes positif Covid-19.

Tinjauan di Jeti Kuala Besut, di sini, mendapati kedatangan pelancong tempatan ke Pulau Perhentian menggunakan pakej harian dan pakej bermalam meningkat terutamanya ketika cuti hujung minggu.

Rata-rata mereka mengakui mengambil kesempatan melancong ke pulau berkenaan secepat mungkin kerana bermula pertengahan November akan ditutup semula berikutan musim tengkujuh.

Pelancong, Azizan Khamis, 53, dari Kedah berkata, dia bersama 18 ahli keluarganya mengambil pakej 'day trip' untuk menikmati keindahan alam semulajadi di pulau itu.

"Saya menetap di Kedah dan pulang menziarahi keluarga mentua di Kelantan yang sudah hampir dua tahun tidak berjumpa.

"Peluang balik ke negeri pantai Timur ini digunakan sepenuhnya untuk mengunjungi Pulau Perhentian, Terengganu. Jika diikutkan ini kali pertama saya ke pulau itu.

"Memang seronok boleh bawa keluarga bercuti di pulau, pemandangannya pun cantik dan menarik," katanya ditemui di jeti Kuala Besut, semalam.

Sementara itu, Natrah Aina Samsul Bahari, 24, dari Besut, di sini, berkata dia memilih untuk bercuti di pulau peranginan berkenaan pada hari biasa berbanding cuti hujung minggu.

"Bercuti pada hari biasa lebih santai kerana tidak perlu bersesak dengan orang ramai, tambahan pula kita masih belum bebas dari Covid-19.

"Harga pakej dan penginapan juga ditawarkan lebih rendah berbanding hari cuti sekali gus dapat menjimatkan kos," katanya.

Pemandu bot pelancong, Raja Zurkarnain Raja Mansor, 24, berkata dia sudah tujuh tahun berulang-alik membawa pelancong pergi ke pulau berkenaan.

"Hasil pendapatan kami memang terjejas sepanjang negara dilanda pendemik Covid-19 kerana aktiviti pelancongan terpaksa dihentikan sementara waktu.

"Namun, saya sedikit lega apabila kerajaan membenarkan semula pelancong datang ke pulau ini walaupun untuk sementara waktu sebelum kembali ditutup pada musim tengkujuh nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 12:29 PM