PELANCONG, Lai Jun Hong, 22, dari Taman Molek, Johor Bahru, Johor lemas ketika menyelam snorkeling di Pulau Rawa dekat Pulau Perhentian, 10.30 pagi tadi. FOTO Ihsan Polis
PELANCONG, Lai Jun Hong, 22, dari Taman Molek, Johor Bahru, Johor lemas ketika menyelam snorkeling di Pulau Rawa dekat Pulau Perhentian, 10.30 pagi tadi. FOTO Ihsan Polis
Nurul Fatihah Sulaini


SEORANG pelancong tempatan dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti selam snorkeling di Pulau Rawa berhampiran Pulau Perhentian, Besut, Terengganu pagi tadi.

Difahamkan kejadian berlaku sekitar 10.30 pagi itu, mangsa, Lai Jun Hong, 22, dari Taman Molek, Johor Bahru, Johor sedang menyelam snorkeling untuk menikmati keindahan laut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa mandi bersama empat yang lain apabila tiba-tiba didapati lemas.

Menurutnya, mangsa memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti selam itu.

“Kejadian disedari oleh pemandu bot yang berada di kawasan itu lalu memaklumkan kepada pemandu bot lain.

“Mereka berusaha memberi bantuan kecemasan kepada mangsa sepanjang perjalanan ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian. Bagaimanapun mangsa tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di klinik itu 12.20 tengah hari,” katanya.

Mohd Zamri berkata, mayat mangsa dibawa ke Jeti Kuala Besut sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Jertih untuk bedah siasat pada 3 petang.

Menurut sumber yang enggan dikenali, mangsa difahamkan pergi bercuti seorang diri ke Pulau Perhentian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 7:05 PM