PULAU Perhentian. FOTO Arkib NSTP
PULAU Perhentian. FOTO Arkib NSTP
Nurul Fatihah Sulaini

Kuala Besut: Kedatangan pelancong tempatan ke Pulau Perhentian menggunakan pakej 'balik hari' meningkat berkali-kali ganda berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, sejak Jun, jumlah pelancong tempatan bercuti di Pulau Perhentian semakin meningkat apabila kerajaan membenarkan rakyat melakukan rentas antara negeri.

Katanya, tempat penginapan seperti chalet dan hotel sentiasa dipenuhi dengan pelancong setiap kali hujung minggu.

"Pelancong tempatan seperti Terengganu dan Kelantan lebih memilih pakej balik hari iaitu pergi pagi dan balik petang.

"Kerajaan negeri turut memberi perhatian serius untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di pulau itu dengan segera seperti laluan jeti ke kincir angin yang pernah tular sebelum ini.

"Kita belum benarkan pelancong menggunakan jeti di hadapan kincir angin atas faktor keselamatan dan mereka boleh menggunakan laluan alternatif melalui laluan hutan untuk sampai ke tempat itu bagi melihat pemandangan pulau," katanya ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra bersama Pemandu Teksi daerah Besut di Kuala Besut, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 6:44 PM